Search This Blog

Saturday, September 3, 2016

Kaut RM5 juta tipu LPG


Satu sindiket tumpas, sembilan lagi diburu
NURFARAHIN HUSSIN  |  03 September 2016 1:00 AM



KUALA LUMPUR 2 Sept. - Kaut untung RM5 juta termasuk RM2 juta wang subsidi kerajaan hasil penipuan penjualan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.
Itu anggaran kasar habuan dalam tempoh tiga tahun yang dipercayai diperoleh 10 sindiket yang menipu pengguna dengan memindahkan gas LPG dari tong 12 kilogram (kg) ke tong 14kg sebelum menjualnya di sekitar Lembah Klang dengan harga antara RM26 dan RM27 setiap tong.
Kesemua sindiket terbabit yang aktif di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan serta mengawal pasaran LPG di tiga negeri berkenaan dipercayai menjual sehingga 1,000 tong sehari atau 240,000 tong setahun dengan keuntungan RM1.68 juta atau RM7 setiap tong.
Bagaimanapun kegiatan salah satu daripada sindiket itu tumpas hasil serbuan oleh Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) bersama Kementeri­an Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman di dua lokasi bermula malam tadi hingga petang ini.
Turut dirampas dalam serbuan yang dibuat di Jalan Genting Klang di sini dan Batu Caves, Selangor ialah ribuan tong berisi LPG dan yang masih kosong bernilai RM1.1 juta.
Selain itu, sebanyak tujuh warga asing dan enam warga tempatan termasuk dua peniaga yang salah seorang daripadanya tidak mempunyai lesen perniagaan diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Pihak berkuasa juga sedang dalam proses membekukan 12 akaun bernilai RM2 juta yang berkaitan dengan kegiatan sindiket itu sementara usaha memburu sembilan lagi sindiket sedang giat dijalankan.
Menurut sumber, dalam serbuan pertama di sebuah stor haram di Jalan Genting Klang yang dipercayai dijadikan lokasi pemindahan isipadu gas daripada tong 12kg ke tong 14kg, sebanyak 619 tong LPG bersubsidi bernilai RM622,000 dirampas.
Ujarnya, tujuh pekerja warga India dan seorang ahli perniagaan yang merupakan pemilik stor warga tempatan dirakam percakapan sementara tiga lori tiga tan termasuk sebuah lori dengan muatan 172 tong yang ditemukan di Jalan Sri Wangsa 1 disita.
“Susulan serbuan tersebut, pihak berkuasa menyerbu sebuah syarikat pembekal di Batu Caves kerana membekalkan LPG bersubsidi kepada syarikat milik sindiket yang beroperasi secara haram.
“Sebanyak 3,358 tong gas pelbagai isipadu daripada stor syarikat dirampas kerana dipercayai menyimpan gas LPG bersubsidi melebihi kuota dan lima individu termasuk pemilik syarikat diambil keterangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sumber itu memberitahu, kesemua sindiket berkenaan dipercayai mengawal pasaran LPG hingga menyebabkan pihak pemborong lain tidak mempunyai pilihan kerana terpaksa mengikut rentak mereka (sindiket) demi bertahan dalam industri LPG.
Tambahnya, pengguna pula tanpa sedar ditipu dan rugi kerana membayar harga untuk tong LPG 14 kg sedangkan isipadu yang diterima hanya 12 kg.
“Ini adalah taktik licik sindiket untuk mengaburi mata pengguna selama ini dan rungutan gas memasak sekarang terlalu cepat habis kini terjawab,” jelasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/kaut-rm5-juta-tipu-lpg-1.377900#sthash.DSKqZQUx.dpuf

No comments:

Post a Comment