Search This Blog

Wednesday, September 7, 2016

Jurutera Afrika Selatan 
telan 60 kapsul kokain


Taktik pengedar antarabangsa bawa masuk dadah ke negara ini terbongkar
MOHD. FIRDAUS ISMAIL  |  07 September 2016 1:02 AM

PULAU PINANG 6 Sept. - Polis berjaya membongkar taktik licik sindiket pengedaran dadah antarabangsa jenis kokain antarabangsa yang menjadikan negeri ini sebagai transit berikutan penahanan seorang lelaki warga Afrika Selatan, Sabtu lalu.

Abdul Ghafar Rajab
Kumpulan itu yang dipercayai berpusat di sebuah negara di Amerika Latin memilih negeri ini kerana terdapat penerbangan te­rus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke Bangkok, Thailand.
Berdasarkan siasatan polis, ibu negara Gajah Putih itu akan menjadi lokasi akhir untuk menjual dadah berkenaan yang mendapat permintaan tinggi di sana.
Ketua Polis ne­ge­ri, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, dalam kejadian pada 3 September lalu, polis menahan lelaki berusia 30-an yang mengaku pelancong dan bekerj­a sebagai jurutera elek­trik setibanya di LTAPP dari Singapura pada pukul 9.15 pagi.
Katanya, ketika pemeriksaan dijalankan terhadap suspek yang membawa sebuah bagasi dan beg sandang, pihak­nya tidak mene­mukan sebarang benda yang mencurigakan.
“Bagaimanapun, polis membawa lelaki itu ke Hospital Pulau Pinang untuk melakukan ujian imbasan-X dan doktor mengesahkan terdapat 60 kapsul berwarna emas disyaki mengandungi dadah jenis kokain di dalam tubuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar An­caman Keselamatan dan Ke­lemahan Terhadap Industri Pelancongan di sini hari ini.
Katanya, kesemua kapsul berke­naan se­berat 810 gram berjaya dikeluarkan dengan nilai keseluruhan mencecah RM267,300 dan suspek mengaku menerima upah sebanyak RM20,000 untuk berbuat demikian.
“Kumpulan ini sangat profesional kerana berjaya mengaburi pihak berkuasa di beberapa negara dan semakan menunjukkan lelaki berkenaan pernah masuk ke negara ini sekali sebelum ini,” katanya.
Tambah beliau, suspek me­naiki penerbangan dari Sao Paolo, Brazil ke Singapura dan terus ke negeri ini.
“Siasatan mendapati lelaki itu akan menghabiskan masa di nege­ri ini selama lima hari dan sudah membeli tiket penerbangan ke Thailand,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, polis masih menyiasat kemungkinan kesemua kokain yang ditelan suspek akan ‘dikeluarkan’ di ne­geri ini.
Tambah beliau, suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/jurutera-afrika-selatan-8232-telan-60-kapsul-kokain-1.379506#sthash.na8hSMB9.dpuf

No comments:

Post a Comment