Search This Blog

Loading...

Tuesday, September 6, 2016

Isteri pengsan apabila tatap jenazah suami


RAIHAM MOHD SANUSI
6 SEPTEMBER 2016
Isteri pengsan apabila tatap jenazah suami

Isteri pengsan apabila tatap jenazah suami Nor Azizan (depan, kiri) dipimpin ahli keluarganya selepas menuntut jenazah suaminya di Hospital Kemaman pada jam 12.15 tengah hari tadi. Gambar kecil: Zamari.
KEMAMAN - Seorang suri rumah pengsan hampir sejam selepas menatap jenazah suaminya yang maut setelah motosikal yang ditunggang merempuh kerbau sebelum diseret sebuah lori.

Nor Azizan Othman, 50, tidak sedarkan diri sejurus masuk ke bilik mayat Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kemaman kira-kira jam 9 pagi tadi.

Suaminya, Zamari Hamzah, 51, meninggal dunia serta merta dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 177.2 Jalan Jerangau-Jabor di Jabor kira- kira jam 5.30 pagi.

Bapa empat anak itu yang bekerja sebagai pemandu lori di Pejabat Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRTSB) Bandar Cheneh Baharu mengalami kecederaan parah di kepala setelah diseret lori sejauh kira-kira 30 meter.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Kawasan Perumahan Jabor Perasing untuk ke tempat kerjanya di Bandar Cheneh Baharu.

Selepas kembali sedar dari pengsan, Nor Azizan tidak henti menangis sehinggalah jenazah suaminya itu dibawa keluar dari pekarangan hospital kira-kira jam 12.15 tengah hari untuk dikebumikan di Jabor.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim yang mengesahkan kemalangan itu berkata, bedah siasat ke atas mangsa siap dijalankan pada jam 9.30 pagi.

Katanya, punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan parah pada bahagian kepala.

"Kemalangan dipercayai berlaku setelah mangsa gagal mengelak dari melanggar seekor kerbau sebelum mangsa terjatuh ke atas jalan lalu dirempuh dan diseret oleh lori yang datang dari arah sama.

"Keadaan di kawasan lokasi kejadian yang gelap menyebabkan mangsa tidak menyedari kehadiran haiwan tersebut yang sudah berada di atas jalan dan pemandu lori terbabit yang berusia 26 tahun tidak sempat mengelak mangsa yang terjatuh lalu menyeretnya " katanya.

Tambahnya, keadaan mangsa yang parah mengakibatkannya meninggal dunia di tempat kejadian dan keadaan di laluan tersebut yang sunyi menyebabkan kejadian tersebut disedari tidak lama kemudian.

Bagaimanapun, katanya, pemandu lori itu yang berusia 26 tahun tidak mengalami apa-apa kecederaan dan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman beberapa jam sejurus kemalangan itu.

Menurut beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment