Search This Blog

Loading...

Thursday, September 1, 2016

Hilang nyawa digilis lori bancuh simen



LELAKI maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan terjatuh di bawah lori.

myMetro
Kuala Lumpur: Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya digilis tayar sebuah lori pembancuh simen di Jalan Cheras Lama di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, mangsa dikenali sebagai Asrawadi, 30-an, yang juga warga Indonesia dikatakan cuba mengelak penghadang jalan yang diletakkan di tengah jalan sebelum terlanggar lori berkenaan.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan Shafie Daud berkata, kepala mangsa digilis lori pembancuh simen dan maut di lokasi kejadian.

“Mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan dipercayai menunggang motosikal dari arah Bulatan Batu 3, Cheras menghala ke Jalan Pudu.

“Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal di lorong kiri sebelum bertukar ke lorong kanan sebelum mengelak daripada melanggar penghadang jalan,” katanya.

Akibat pelanggaran itu, mangsa gagal mengawal motosikalnya sebelum terjatuh di tengah jalan lalu digilis lori berkenaan.

“Kepala mangsa digilis tayar belakang lori. Pemandu lori pula tidak menghentikan kenderaannya sejurus kejadian.

Menurutnya, pegawai penyiasat sudah ke lokasi untuk melakukan siasatan selain meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi bagi mendapatkan gambaran jelas kemalangan.

Sementara itu seorang pekerja khidmat pelanggan sebuah syarikat televisyen swasta maut sejurus motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum dia terjatuh di bawah sebuah lori sedang bergerak.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari kelmarin, mangsa, Mohd Khairul Ashraf Mohd Yusof, 27, terbabit nahas di Jalan Kuching arah pusat bandar berhampiran Hentian Putra.

Anggota polis trafik mengesahkan mangsa berasal dari Kampung Setar Kanan, Marang, Terengganu itu maut di lokasi.

“Berdasarkan keadaan fizikalnya, mangsa parah di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 8:20 AM

No comments:

Post a Comment