Search This Blog

Loading...

Tuesday, September 6, 2016

Gempa bumi Oklahoma akibat kerakusan manusia






SERPIHAN batu-bata bertaburan di luar sebuah kedai emas yang dikosongkan di Pawnee, Oklahoma kelmarin.

WASHINGTON – Satu gempa bumi sederhana menggegarkan negeri Oklahoma kelmarin di mana gegaran dilaporkan meningkat berikutan penggunaan kaedah hidraulik yang kontroversi bagi mengeluarkan minyak dan gas asli.

Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa bermagnitud 5.6 itu berlaku dekat Pawnee, sebuah bandar di timur laut Oklahoma. Gegaran turut dirasai di tujuh negeri Amerika Syarikat (AS) dari Texas hingga ke Iowa.

“Tiada kebakaran atau kecederaan dilaporkan di bandar ini. Kami amat, amat, amat bernasib baik,” kata Datuk Bandar Pawnee, Brad Sewell.

Menurut USGS, gegaran kelmarin menyamai gempa bumi terkuat yang melanda Oklahoma pada dekad lalu.

Pada Khamis lepas, satu gempa kecil bermagnitud 3.2 berlaku berhampiran Pawnee.

“Kakitangan Suruhanjaya Perbadanan Oklahoma sedang mengkaji telaga pelupusan di sekitar kawasan gempa bumi dekat Pawnee,” kata Gabenor Oklahoma, Mary Fallin di laman Twitter.

Punca utama kejadian gempa di kebanyakan kawasan di tengah dan timur AS adalah disebabkan perbuatan manusia yang melupuskan sisa air, demikian menurut laporan USGS pada Mac lalu.

Sisa air itu berpunca daripada kaedah kontroversi untuk menggerudi minyak. Kaedah itu yang dinamakan fracking, melibatkan proses menembak air bercampur pasir dan bahan kimia jauh ke dalam bumi bagi memecahkan lapisan batu bagi mengeluarkan minyak mentah dan gas asli yang terperangkap.

Agensi itu buat julung-julung kalinya memasukkan faktor manusia ke dalam peta ramalan gempa buminya.

USGS berkata, negeri yang berdepan risiko gempa bumi akibat perbuatan manusia itu ialah Oklahoma, Kansas, Texas, Colorado, New Mexico dan Arkansas.

Kaedah itu telah membantu me­ningkatkan pengeluaran bekalan minyak mentah dan gas pada skala besar-besaran di AS sepanjang dekad lalu.

Namun, bersama minyak dan gas, proses itu turut mengeluarkan sisa air payau dalam kuantiti besar. Sisa air itu kemudiannya dilupuskan dengan menyalurkannya semula ke dalam telaga lain yang digali pada kedalaman 1.6 kilometer di bawah tanah.

Pakar-pakar berkata, perbuatan menambah air itu boleh mengubah tekanan di sepanjang lapisan Bumi yang menyebabkan berlakunya gelinciran dan gempa bumi. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz4JQfjHbKf
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment