Search This Blog

Loading...

Thursday, September 8, 2016

Gambar jadi bukti



IMEJ didedahkan pihak berkuasa Filipina menunjukkan sebuah kapal China dengan koordinat dipaparkan pada gambar berkenaan. - EPA

AP
Vientiane: Kerajaan Filipina semalam mendedahkan gambar yang didakwanya menunjukkan kapal pengawal pantai dan tongkang milik China di Beting Scarborough yang dibimbangi satu lagi cubaan membina pulau buatan di Laut China Selatan.

Jurucakap Kementerian Luar China, Hu Chunying bagaimanapun menegaskan Beijing tidak melakukan apa-apa untuk mengubah keadaan perairan di sekitar beting berkenaan.

“Keadaan perairan di sekeliling Pulau Huangyan (nama digunakan China) tidak berubah dan kami tidak berbuat apa-apa.

“Kita perlu berhati-hati dengan golongan yang menyebabkan maklumat yang tidak berasas dalam keadaan ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Duterte, Ernesto Abella berkata, perkara itu membimbangkan presiden.

“Kami kini membincangkan isu ini dengan China,” katanya.

Setiausaha Pertahanan Delfin Lorenzana pula berkata, Filipina akan membuat bantahan secara rasmi jika kerajaan China mengesahkan gambar berkenaan.

Duterte sebelum ini mengambil pendekatan lebih lembut berbanding presiden sebelumnya, Benigno Aquino III, malah berkata, tidak akan membangkitkan isu berhubung Laut China Selatan dengan cara yang boleh membangkitkan rasa tidak senang Beijing.

Bagaimanapun, dia menyuarakan kebimbangan selepas pesawat pengawasan Filipina baru-baru ini melihat empat kapal pengawal pantai dan empat tongkang termasuk satu dilengkapi sesuatu yang nampak seperti kren di lokasi berkenaan.

Beberapa jam selepas gambar itu didedahkan Filipina, pemimpin Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) menemui Perdana Menteri China Li Keqiang dan membincangkan isu itu dalam mesyuarat tertutup dengan Duterte menggesa konflik diselesaikan secara baik, sejajar dengan perundangan antarabangsa, kata setiausaha komunikasi Martin Andanar.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 7:43 AM

No comments:

Post a Comment