Search This Blog

Tuesday, September 6, 2016

Filipina makin bimbang






GAMBAR fail bertarikh 27 Februari 2015 menunjukkan anggota pengawal pantai China menghampiri sebuah bot nelayan Filipina dekat Beting Scarborough, Laut China Selatan.

MANILA – Filipina semalam menyua­rakan kebimba­ngan serius dan menuntut duta China memberikan penjelasan berkaitan peningkatan bilangan bot China berhampiran lokasi tuntutan bertindih, Be­ting Scarborough di Laut China Selatan.

Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana berkata, sebuah pesawat Tentera Udara Filipina melintasi Beting Scarborough kelmarin dan melihat lebih banyak bot daripada armada biasa yang dikekalkan China selepas Beijing merampas kawasan itu pada 2012.

“Terdapat empat kapal pengawal pantai China dan enam kapal lain termasuk sebilangan tongkang berwarna biru di sekitar Beting Scarbo­rough.

“Kehadiran banyak kapal lain selain kapal pe­ngawal pantai China di kawasan ini mencetuskan kebimbangan serius,” katanya.

Menurut Lorenzana, Beijing cuba menghantar tongkang-tongkang menambak pasir ke lokasi itu awal tahun ini, namun setakat ini masih tiada tanda-tanda aktiviti membina pulau tiruan dilakukan.

China sebelum ini menggunakan tongkang-tongkang untuk menambak pasir di tujuh pulau tiruan miliknya di Kepulauan Spratly.

“Jika mereka (China) cuba membina sesuatu di Beting Scarborough, ia akan memberikan kesan amat buruk terhadap situasi­ keselamatan,” tambah Lorenzana.

Walaupun Beting Scarborough sekadar beberapa buah batu yang timbul di permukaan laut, lokasi itu katanya, penting buat Filipina kerana perairannya yang tenang dan sumber ikannya yang banyak.

Manila sebelum ini berkata, sekatan China ke atas beting itu mencabuli undang-undang antarabangsa.

Isu tuntutan wilayah maritim antara Manila dan Beijing menjadi lebih signifikan selepas Mahkamah Tetap Arbitrasi (PCA) memutuskan pada 12 Julai lalu bahawa tiada negara mempunyai hak kedaulatan berhubung aktiviti di Beting Scarborough.

Lokasi itu menjadi kawasan menangkap ikan turun-temurun oleh nelayan China, Filipina dan Vietnam .

China enggan mengiktiraf keputusan PCA de­ngan bantahan terbaru oleh Filipina itu boleh mengeruhkan situasi menjelang dua sidang kemuncak serantau di Laos esok yang akan menghimpunkan pemimpin negara Asia Tenggara di samping China, Jepun dan Amerika Syarikat.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mahu China mematuhi keputusan PCA tetapi berjanji tidak akan menimbulkan isu itu pada sidang berkenaan.

Beliau sebaliknya mahukan rundingan dua hala yang lancar antara Manila dan Beijing.

China menuntut hampir kesemua Laut China Selatan yang menjadi laluan perdagangan utama di dunia.

Malaysia, Filipina, Taiwan, Brunei dan Vietnam juga mempunyai tuntutan di laut itu. – Reuters



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4JQfXYJPU
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment