Search This Blog

Loading...

Tuesday, September 27, 2016

Dua lelaki samun kedai dalam masa 28 saat


SYAMILAH ZULKIFLI
27 SEPTEMBER 2016
Dua lelaki samun kedai dalam masa 28 saat

Dua lelaki samun kedai dalam masa 28 saat Polis sedang menjalankan siasatan di kedai emas yang dirompak.
SEREMBAN - Hanya mengambil masa 28 saat, sebuah kedai emas di Jalan Dato Bandar Tunggal dekat sini, mengalami kerugian dianggarkan RM50,000 selepas disamun dua penjenayah hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.56 pagi itu, dua suspek yang memakai serba hitam, bertopi dan berkaca mata hitam memasuki premis lalu mengacukan senjata dipercayai menyerupai sepucuk pistol.

Ketua Polis Dearah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, ketika kejadian itu terdapat tujuh pekerja termasuk pemilik premis berkenaan, namun tiada pengawal keselamatan disediakan.

“Suspek yang menunggang motosikal terus meluru masuk ke dalam premis dan mengacukan senjata dikatakan menyerupai sepucuk pistol ke arah tiga pekerja wanita.

“Pekerja premis telah diarahkan oleh suspek menyerahkan dulang berisi barangan emas sebelum mereka melarikan diri dan dulang tersebut telah dibuang di tepi jalan tidak jauh dari lokasi,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis, suspek  hanya mengambil masa lebih kurang 28 saat untuk melakukan kegiatan jenayah berkenaan.

“Anggaran kerugian dianggarkan RM50,000 apabila satu dulang subang emas berjaya dilarikan suspek dari premis tersebut yang beroperasi sejak 24 tahun lalu.

“Polis sedang giat mengesan suspek dengan melancarkan Ops Tutup serta turut meneliti rakaman CCTV dari premis sekitar. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment