Search This Blog

Loading...

Friday, September 9, 2016

Dua kakitangan Jabatan Perhutanan cedera dibelasah


RODELIO JUNJUN TAUCAN  |  08 September 2016 11:10 PM

jenayah


KOTA BELUD 8 Sept. - Dua kakitangan Jabatan Perhutanan Sabah cedera diserang oleh sekumpulan lelaki ketika sedang melakukan tinjauan di sebuah hutan di Kampung Suang Punggur, di sini yang disyaki menjadi lokasi kegiatan mengambil kayu terubah secara haram.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari Sabtu lalu, Penolong Pegawai Perhutanan daerah, Rosmin Suhod dan renjer, Ruslan Ayai terpaksa melarikan diri dan bersembunyi selama beberapa jam di dalam hutan bagi menyelamatkan diri selepas cedera akibat dibelasah menggunakan kayu beruti dan rotan.
Menurut sumber, seorang lagi kakitangan jabatan itu, Mohd. Nazriee Abdullaid yang sedang berada di dalam kereta turut diancam akan dicederakan oleh sekumpulan lelaki lain yang datang menggunakan Perodua Viva hitam dan motosikal Honda EX5 jika dia tidak meninggalkan tempat itu.
“Kumpulan lelaki berkenaan mengancam mahu membakar kenderaan milik Jabatan Perhutanan itu jika dia tidak meninggalkan kawasan berkenaan.
“Mohd. Nazriee kemudiannya meminta bantuan polis dan sepasukan anggota bersama 11 kakitangan Jabatan Perhutanan Sabah bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan kedua-dua mangsa yang bersembunyi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ujar sumber, selepas menyelamatkan mangsa, pasukan perubatan dari Hospital Kota Belud dipanggil untuk merawat mereka yang mengalami kecederaan di bahagian belakang, tangan, jari, paha dan kaki akibat serangan tersebut.
Sementara itu, Pengarah Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan dalam satu kenyataan berkata, penyerang-penyerang tersebut terlibat dengan jenayah hutan iaitu mengambil kayu terubah secara haram.
Tambahnya, pihaknya telah menyita sebanyak 83 batang kayu yang ditemukan di tempat kejadian dan telah dipindahkan ke lokasi selamat untuk siasatan.
“Ini adalah kejadian yang serius dan boleh mengancam nyawa pegawai serta kakitangan kami,” katanya. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dua-kakitangan-jabatan-perhutanan-cedera-dibelasah-1.380375#sthash.lBJGLcwR.dpuf

No comments:

Post a Comment