Search This Blog

Loading...

Wednesday, September 7, 2016

Dua dituduh perdagang 11 wanita




TERTUDUH, Soon Aun (kanan) dan M Suresh (dua kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Taiping. FOTO Yahya Zainuddin

Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Taiping: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memperdagangkan 11 wanita untuk tujuan ekploitasi seksual sejak empat tahun lalu.

Tertuduh M Suresh, 26, dan Loh Soon Aun, 58, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil dan Hokkien secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Suresh didakwa atas enam pertuduhan melakukan ekploitasi seksual ke atas enam wanita warga Thailand di premis V Class Enterprise, 26B dan 28B Jalan Bestari 3, Pusat Bandar Fasa 2, Parit Buntar sejak 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih 15 tahun dan denda.

Manakala Soon Aun pula didakwa atas lima pertuduhan melakukan ekploitasi seksual dengan cara ugutan terhadap empat wanita warga Thailand dan seorang wanita warga Laos di Pusat Kecantikan Vistana Beauty & Spa, Kuala Kurau, sejak 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda.

Mohd Sabri kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin kepada Suresh manakala Soon Aun pula ditawarkan jaminan sebanyak RM 10,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula 23 September ini.

Pendakwaaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md Yusof manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 2:45 PM

No comments:

Post a Comment