Search This Blog

Loading...

Saturday, September 10, 2016

Datuk Seri hadapi 18 tuduhan


Terima barang berharga tanpa balasan bernilai RM4.4 juta
NORAZLITA MOHD. SIES  |  10 September 2016 12:55 AM



KUALA LUMPUR 9 Sept. - Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Seri Syed Afendy Ali Syed Abid Ali hari ini mengaku tidak bersalah atas 18 pertuduhan berkaitan rasuah dan menerima barang berharga tanpa balasan melibatkan aset bernilai kira-kira RM4.4 juta, tujuh tahun lalu.
Syed Afendy Ali, 54, yang didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini menghadapi satu pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009, lapan pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan sembilan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.
Mengikut pertuduhan di bawah SPRM, Syed Afendy Ali didakwa sebagai ejen DBKL telah secara rasuah memperoleh suapan, untuk penama, Rodziah Abd. Samad, 54, satu unit lot kedai tiga tingkat di Pusat Perdagangan Danau Lumayan bernilai RM930,000 daripada syarikat Danau Lumayan Sdn. Bhd.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh mengesahkan semakan tuntutan bayaran kemajuan oleh syarikat tersebut berkaitan projek usahasama de­ngan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.
Tertuduh yang dituduh mela­ku­kan perbuatan itu pada 2 Mac 2009 di Pejabat Ketua Bahagian (Pembangunan dan Penswastaan) Jabatan Kewangan DBKL didakwa mengikut Seksyen 17(a) ASPRM. Jika sabit kesalahan ia memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Syed Afendy Ali juga didakwa telah menerima untuk penama Minah Abdullah, 73, dua unit kondominium di B-03-06 dan di B-08-04, Suasana Lumayan Bandar Sri Permaisuri, Bandar Tun Ra­zak iaitu setiap seunit bernilai RM249,990 daripada syarikat pe­ma­ju yang sama.
Bagi dua pertuduhan itu, penjawat awam tersebut didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau de­ngan denda atau dengan kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut meng­hadapi lima lagi pertuduhan di bawah seksyen yang sama atas tuduhan mene­rima untuk penama, Mazwan Amin Mohd. Noor, 44, satu unit kondominium di A-19-03, satu unit kondominium di D-19-08 untuk penama Syed Ashraf Ali Syed Afendy Ali, 28, satu unit kondominium untuk Minah Abdullah, 54, di A-19-04, satu unit kondominium untuk Minah Abdullah, 73, di D-19-07 dan satu unit kondominium untuk Rodziah Abd. Samad, 54, di B-21-05.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 30 April 2014 dan 16 Oktober 2014 melibatkan projek dan pemaju yang sama dengan nilai yang sama di Pejabat Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan DBKL.
Syed Afendy Ali menghadapi tiga pertuduhan di bawah AMLATFA iaitu menggunakan wang berjumlah RM767,500 melalui tiga keping cek CIMB Bhd. milik Tetuan Wong-Chooi & Mohd. Nor yang merupakan hasil daripada aktiviti haram untuk pembayaran komisyen, pembayaran pembe­lian lot kedai di No. 11-11-1 dan 11-2 dan pembayaran cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 4 Februari 2013 dan 14 Mac 2013 di CIMB di Taman Mutiara Cheras.
Sementara itu, Syed Afendy Ali turut menghadapi enam lagi pertuduhan di bawah AMLATFA atas dakwaan menerima wang berjumlah RM1.65 juta melalui enam keping cek yang dimasukkan ke dalam akaun firma yang sama dan menggunakan RM1.3 juta daripada tiga keping cek yang dimasukkan ke firma yang sama.
Terdahulunya Timbalan Pendakwa Raya, Aida Adha Abu Bakar mencadangkan jaminan RM1.5 juta bagi pertuduhan rasuah dan RM500,000 bagi AMLATFA de­ngan seorang penjamin.
Peguam M. Athimulan yang mewakili tertuduh memohon jum­lah tersebut dikurangkan kerana akaun tertuduh dan keluar­ganya telah dibekukan selain anak guamnya telah memberikan kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan.
Syed Afendy Ali memohon kebenaran untuk berkata sesuatu: “Yang Arif. Jumlah tersebut terlalu tinggi dan saya tidak mampu. Saya kini tiada apa-apa lagi. Selepas ditangkap saya hilang segala-galanya termasuk rakan-rakan. Kalau saya hubungi mereka (rakan-rakan) minta wang jaminan, orang akan lari.”
Hakim Allaudeen Ismail meng­­gunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan RM1 juta dengan syarat RM400,000 mesti didepositkan hari ini kepada mahkamah manakala baki RM600,000 hendaklah didepositkan pada Rabu.
Mahkamah menetapkan 13 Ok­to­ber bagi sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen yang berkaitan selain menetapkan perbicaraan didengar pada 9 hingga 13 Januari 2017.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/datuk-seri-hadapi-18-tuduhan-1.381002#sthash.mlUypPv4.dpuf

No comments:

Post a Comment