Search This Blog

Loading...

Friday, September 9, 2016

Curi motosikal: Polis tahan 4 lelaki


MOHD IZZATUL IZUAN
9 SEPTEMBER 2016
Curi motosikal: Polis tahan 4 lelaki

Curi motosikal: Polis tahan 4 lelaki Nor Azmi (kanan) bersama pegawainya menunjukkan empat motosikal yang dicuri dalam kejadian berasingan
SUNGAI BESAR - Polis berjaya menyelesaikan empat kes curi motosikal setelah memberkas empat suspek secara berasingan selepas mereka disyaki terlibat dalam kejadian itu sejak 25 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, polis yang melancarkan task force menerusi Op Lejang diketuai Inspektor Norizan Ramli giat menggerakkan usaha bagi memburu suspek terlibat.

Menurutnya, semua suspek berumur antara 21 hingga 41 tahun itu dicekup dan direman selama 14 hari dari tarikh tangkapan masing-masing.

“Suspek pertama yang bekerja swasta berusia 36 tahun dipercayai mencuri sebuah motosikal pada 23 Ogos lalu di Sungai Besar, namun polis menemui semula motosikal mangsa selepas dua hari dicuri.

“Manakala suspek kedua berusia 21 tahun mencuri sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang diletakkan di sebuah klinik di Sekinchan pada 30 Ogos lalu, bagaimanapun polis berjaya tahan suspek keesokannya,” katanya pada sidang media di IPD Sabak Bernam, di sini, semalam.

Nor Azmi berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang mencuri sebuah motosikal yang diletakkan di sebuah kedai runcit di Pekan Simpang 4, Bagan Nakhoda Omar, Sungai Air Tawar.

“Hasil siasatan terhadap suspek, polis menemui sebuah motosikal curi jenis Yamaha Lagenda 115Z dan telah merampas motosikal terbabit,” katanya.

Beliau berkata, seorang warga Myanmar berusia 25 tahun bekerja sebagai nelayan turut ditahan selepas didapati melakukan kes sama di Lorong 4, Bagan Sekinchan.

“Polis berjaya tahan suspek dan merampas motosikal curi kira-kira jam 2 pagi di Jalan 9, Bagan Sekinchan pada 4 September lalu,” katanya.

Menurutnya, polis menggerakkan usaha bagi memburu sindiket curi motosikal di daerah itu yang menjalankan modus operandi sama.

“Kita harap pemilik motosikal guna kunci pendua dan letakkan motosikal mereka di tempat selamat,” katanya.

No comments:

Post a Comment