Search This Blog

Loading...

Thursday, September 1, 2016

Bas ekspres terseret 20 meter [METROTV]




Mohd Hasbi Sidek dan Nurul Hidayah Bahaudin dan Nadzreen Shah Mat Salim
am@hmetro.com.my
Gombak: Pemandu kenderaan bergegas memberi bantuan awal mengeluarkan 12 mangsa yang terperangkap sejurus sebuah bas ekspres terbalik di Kilometer 31.3, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di sini.

Dalam kejadian jam 4.14 petang itu, bas dua tingkat itu membawa 12 penumpang warga Singapura dari pusat peranginan Genting Highlands menuju ke ibu kota.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, bas itu hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi konkrit lebuh raya hingga pecah.

“Akibat rempuhan itu, bas berkenaan terseret sejauh 20 meter sebelum terbalik.

“Mangsa yang cedera termasuk pemandu bas dan kelindan. Bagaimanapun kedua-dua mereka berjaya keluar sendiri dari bas berkenaan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, seramai 10 mangsa cedera, namun tahap kecederaan mangsa masih dalam siasatan pegawai penyiasat polis.

Enam mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Bentong, Pahang, manakala empat lagi mangsa masing-masing dihantar ke Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Empat lagi mangsa bagaimanapun enggan dihantar ke hospital dan meninggalkan lokasi kejadian.

Kemalangan itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas sepanjang lima kilometer dari kedua-dua arah.

Katanya, pihak polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan sama ada disebabkan kecuaian pemandu atau masalah teknikal.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut berada di lokasi kejadian bagi memberikan rawatan kepada mangsa yang terbaring di atas jalan.

Difahamkan nahas itu mengakibatkan bumbung bas terkopak selain kerusi penumpang bas tercabut dan terpelanting di atas jalan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 9:58 AM

TEMBOK pembahagi jalan pecah dirempuh bas ekspres.

DISYORKAN

No comments:

Post a Comment