Search This Blog

Sunday, September 4, 2016

Barang seludup RM6 juta dirampas


Sebanyak 32 kontena dibawa dari negara jiran
RODELIO JUNJUN TAUCAN  |  03 September 2016 11:57 PM

Subromaniam THOLASY (dua kiri) memberi penerangan mengenai rampasan

Subromaniam THOLASY (dua kiri) memberi penerangan mengenai rampasan
SUBROMANIAM THOLASY (dua kiri) memberi penerangan mengenai rampasan arak yang disimpan di Pelabuhan Sepanggar dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu semalam. Turut bersama Dr. Janathan Kandok (kiri). MINGGUAN/IRWAN MAJID
KOTA KINABALU 3 Sept. - Didaftarkan sebagai perabot, perkakasan besi dan kelengkapan sukan, namun hakikatnya sebanyak 32 kontena yang diletakkan di Pelabuhan Se­panggar sebenarnya berisi pelbagai barangan seludup termasuk arak dari negara jiran.
Tindakan penyeludup yang me­malsukan dokumen bagi me­nu­tup aktiviti jenayah tersebut walau bagaimanapun berjaya dipatahkan hasil kecekapan ang­gota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melakukan pe­meriksaan dan merampas ke­se­mua barang tersebut.
Timbalan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Subromaniam Tholasy berkata, kesemua barang itu bernilai RM6 juta termasuk cukai yang diimport dari China, Singapura serta Thailand didaftar dan diikrarkan sebagai barang­an lain bagi mengelak dikenakan cu­kai.
“Pemeriksaan pertama mendapati 21 buah kontena tersebut diisi dengan arak pelbagai jenama iaitu sebanyak 249,372 liter de­ngan nilai duti import RM870,000 dan cukai RM3.69 juta.
“Dalam pemeriksaan kedua, lapan kontena lagi didapati me­ngandungi beras seberat 170,150 kilogram dengan nilai duti dan cukai RM1.06 juta manakala tiga buah kontena lain diisi 2,131 biji tayar serta kelengkapan rumah dengan duti dan cukai bernilai RM450,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM hari ini.
Yang turut hadir Pengarah JKDM Sabah, Datuk Dr. Janathan Kandok dan Pengarah Cawangan Risikan JKDM, Mohd. Yussof Ismail.
Subromaniam berkata, kese­mua barangan tersebut dipercayai dibawa masuk ke negeri ini oleh ejen penghantaran dan pihaknya masih berusaha mengesan setiap mereka untuk dibawa ke muka pengadilan.
Menurutnya, kes tersebut di­siasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan seludup atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
"Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, pesalah boleh didenda tidak kurang 20 kali ganda dan tidak lebih 40 kali ganda nilai barang seludup atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua­nya sekali.
“JKDM juga tidak akan teragak-agak membatalkan lesen mana-mana ejen yang didapati menyalahgunakan lesen tersebut untuk menyeludup,” jelas beliau.
Subromaniam berkata, rampasan tersebut yang dibuat oleh Cawangan Risikan, Bahagian Pe­ngu­atkuasaan JKDM Sabah dengan bantuan Unit Siasatan Frod Perdagangan Sabah merupakan yang terbesar di negeri ini tahun ini.
Sementara itu katanya, JKDM akan menubuhkan unit Coordinated Border Management (CBM) yang dicetuskan oleh Pertubuhan Kastam Dunia (WCO) iaitu kerjasama antara agensi keselamatan bagi memantapkan kawalan di sempadan negara.
“Kawasan yang dikenal pasti untuk penubuhan CBM adalah di pintu-pintu masuk negara. Pegawai-pegawai CBM akan memban­tu pegawai penaksir dalam menjalankan tugas dengan lebih ber­­­kesan,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/barang-seludup-rm6-juta-dirampas-1.378144#sthash.tYfLfy7c.dpuf

No comments:

Post a Comment