Search This Blog

Loading...

Thursday, September 29, 2016

Banduan maut dalam pergaduhan di penjara





Manila: Pergaduhan membabitkan lapan banduan di sebuah penjara di Filipina semalam menyebabkan seorang ketua pengedar dadah warga China maut dan empat lagi cedera, kata pegawai.

Kejadian tercetus ketika siasatan Kongres mengenai aktiviti perdagangan dadah di pusat tahanan berkenaan.

Setiausaha Keadilan, Vitaliano Aguirre II berkata, pergaduhan tercetus apabila seorang banduan menangkap tiga banduan warga China yang mengambil dadah jenis methamphetamine.

Banduan yang maut dikenali sebagai Tony Co.

Katanya, Co dan dua lagi banduan warga China yang cedera adalah antara pengedar dadah terbesar di negara itu.

Turut cedera, ketua banduan, Jaybee Sebastian yang diminta memberi keterangan dalam siasatan Kongres terhadap Senator Leila de Lima.

De Lima, yang juga bekas Setiausaha Keadilan pernah memberitahu, Sebastian yang memberi petunjuk yang membawa kepada maklumat dan serbuan terhadap penjara berkenaan pada 2014.

Serbuan itu mendedahkan banduan berprofil tinggi tinggal di bilik penjara umpama rumah mewah lengkap dengan tab mandi air panas dan lampu disko.

Senjata api, mesin pengira, telefon bimbit dan peralatan elektronik lain turut dirampas.

De Lima kurang disenangi Presiden Rodrigo Duterte selepas wanita itu mengetuai siasatan mengenai skuad pembunuh ketika pemimpin itu menjadi datuk bandar Davao.

Dia juga mengetuai siasatan Senat terhadap kempen memerangi dadah yang dilancarkan Duterte yang sudah meragut lebih 3,000 nyawa. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 9:24 AM

No comments:

Post a Comment