Search This Blog

Loading...

Friday, September 9, 2016

Alamat mimpi gigi bapa luruh




KEADAAN kereta dinaiki Yushazliyana remuk akibat kemalangan.

Kepala Batas: “Sebelum ini, arwah beritahu dia bermimpi gigi bapanya luruh (tanggal), tak sangka ia petanda sebelum dia pergi buat selama-lamanya,” kata Roshilah Hashim, 50-an, ibu kepada Yushazliyana Yusof, 19, yang meninggal dunia selepas kereta dinaiki terbabas di Kilometer 120, Lebuhraya Utara-Selatan menghala selatan, dekat sini, awal pagi semalam.

Menurut Roshilah, anak bongsu daripada empat beradik itu keluar rumah jam 1.30 pagi untuk menghantar barangan dipesan pelanggan.

“Ini kerana, arwah yang belajar di sebuah kolej di Sungai Petani, Kedah berniaga secara dalam talian. Dia minat berniaga dan menjual jam,” katanya di Hospital Kepala Batas (HKB).

Dalam kemalangan jam 2 pagi itu, Yushazliyana yang juga penuntut bidang Pengurusan Perniagaan meninggal dunia di lokasi akibat parah pada badan selepas Proton Saga dinaiki bersama dua rakan terbabas dipercayai akibat jalan licin sebelum terbalik ke dalam longkang di kiri lebuh raya.

Mangsa tercampak sejauh 70 meter manakala dua rakannya parah dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan.

Ketika kejadian, beberapa pengguna berlindung daripada hujan di bawah jejantas sebelum menyaksikan kereta dinaiki mangsa terbabas.

Roshilah yang tinggal di Taman Ria Jaya, Sungai Petani berkata, arwah cemerlang dalam akademik dan rajin mencari wang sendiri.

“Arwah tidak suka menyusahkan keluarga sebaliknya berusaha mencari wang sendiri dengan berniaga.

“Dia tidak meninggalkan sebarang pesan sebelum keluar rumah malam tadi (semalam) tetapi beberapa hari lalu, dia beritahu bermimpi mengenai gigi bapanya luruh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Azmi Adam ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 7:48 AM

No comments:

Post a Comment