Search This Blog

Loading...

Sunday, September 11, 2016

4 tahan azab kereta masuk gaung




MANGSA yang parah diangkut dengan pengusung oleh anggota bomba.

Genting: Empat lelaki yang juga pekerja taman tema Genting Highlands menahan azab sakit lebih empat jam sebelum diselamatkan apabila kereta dinaiki terbabas dan terbang ke dalam gaung sedalam 150 meter di Jalan Amber Court, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa, Vijayavarman, 27, S Surenraj, 21, P Kirenraj, 20, dan seorang mangsa yang belum dikenal pasti identitinya tersepit di dalam kereta.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands, Yusri Abdullah Sani, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.42 pagi dan sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kereta Toyota Corolla dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar penghadang besi jalan sebelum terhumban ke dalam gaung.

“Seramai enam anggota dan pegawai bomba berusaha menyelamatkan mangsa di dalam gaung berbatu itu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati empat mangsa terperangkap di dalam kenderaan di dalam gaung,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, anggota bomba mengalami kesukaran menyelamatkan mangsa berikutan kedudukan kereta itu yang berada di kawasan berbatu.

“Anggota bomba bertindak pantas memasang takal bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

“Operasi menyelamatkan mangsa turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sentul dan pihak polis,” katanya.

Yusri berkata, semua mangsa yang parah dibawa naik sekitar jam 8.54 malam.

Sementara itu, anggota Unit Bantuan Kecemasan APM Shukor Hashim berkata, anggota APM memberi rawatan kecemasan sebelum mangsa dihantar menaiki ambulans ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Selayang dan Hospital Bentong.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 9:43 AM

No comments:

Post a Comment