Search This Blog

Loading...

Friday, September 30, 2016

2,470 Pemandu Akan Didakwa Salah Guna Lorong Kecemasan - JPJ


Diterbitkan: Rabu, 28 September 2016 5:00 PM



KUALA LUMPUR: Sehingga Isnin lepas, seramai 52 individu sudah dihadapkan ke mahkamah kerana menyalahgunakan lorong kecemasan di lebuh raya manakala tujuh waran tangkap telah dikeluarkan bagi kesalahan sama.

Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk V. Valluvan berkata seramai 2,470 pemandu akan didakwa di mahkamah bermula bulan depan kerana melakukan kesalahan itu.

Katanya langkah orang awam menghantar aduan bergambar pemandu yang menggunakan lorong kecemasan telah banyak membantu JPJ mengesan dan mengambil tindakan terhadap pesalah jalan raya itu.

Beliau berkata kerjasama berkenaan dilihat telah memberikan hasil yang sangat efektif kepada JPJ untuk mengesan pemandu yang tidak bertanggungjawab.

"Kerjasama diberikan orang awam kepada JPJ telah beri hasil yang begitu baik dalam kita membudayakan satu pemanduan yang sihat di Malaysia...saya menghargai dan berterima kasih kepada mereka yang mengambil inisiatif menghantar gambar kepada kami," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Katanya, sebanyak 138 aduan bergambar telah diterima oleh JPJ dalam tempoh seminggu ketika cuti panjang Aidiladha dan Hari Malaysia baru-baru ini.

Sementara itu, Valluvan menyarankan orang ramai turut menghantar aduan bergambar bukan sahaja bagi kesalahan menggunakan lorong kecemasan tetapi bagi kesalahan jalan raya yang lain seperti memotong barisan.

"Jika ada maklumat, sila maklumkan kepada JPJ...kami akan ambil tindakan yang serius terhadap mereka," katanya.

Orang awam yang ingin membuat aduan bergambar boleh salurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my. -- Bernama

No comments:

Post a Comment