Search This Blog

Tuesday, September 6, 2016

200 peniaga atas talian tertipu


MUHAMMAD FAIZ SULONG
6 SEPTEMBER 2016
200 peniaga atas talian tertipu

200 peniaga atas talian tertipu Antara mangsa penipuan bersama Charles yang ketika sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Klang
KLANG – Beberapa peniaga dalam talian mendakwa mengalami kerugian ratusan ribu ringgit apabila ditipu pembekal produk atas talian.

Menurut seorang peniaga yang dikenali sebagai Ayu, 30, dia dan beberapa rakannya telah membuat beberapa laporan polis berhubung perkara itu.

Menurutnya, terdapat hampir 200 peniaga atas talian menerima nasib sama apabila produk berupa lampin pakai buang bayi yang dijanjikan tidak diterima dan dianggarkan nilai kerugian keseluruhannya hampir RM2.2 juta.

“Pada permulaannya, tiada masalah dalam proses urus niaga dengan suspek yang mendakwa wakil sebuah syarikat, namun sejak Mei lalu, masalah mula berlaku apabila barangan dipesan tidak sampai kepada peniaga," katanya.

Katanya, pada mulanya, bermacam alasan diberi termasuk melengahkan masa apabila mangsa meminta pulangan wang.

"Mereka juga bagi cek tendang dan kemudian hingga kini, mereka terus tidak menjawab sebarang panggilan kecuali memberikan pelbagai alasan,” katanya kepada pemberita, di sini.

Ayu berkata, modus operandi suspek dipercayai cuba mendapatkan kepercayaan pada peringkat awal urus niaga supaya mangsa melaburkan wang dalam jumlah besar.

"Suspek kemudiannya akan mula memberikan alasan melengahkan masa dan produk yang dijanjikan tidak sampai ke tangan peniaga," katanya pada sidang media bersama Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Klang.

Sementara itu, Charles menggesa polis untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap skim penipuan atas talian kerana semakin ramai pengguna menjadi mangsa.

“Melalui bukti dan laporan yang dikemukakan, sepatutnya pihak berwajib mampu melakukan sesuatu untuk menghukum pesalah siber ini seterusnya membela mangsa penipuan.

“Saya juga menggesa satu jawatankuasa Financial Scam Asset Recovery atau pusat pemulihan aset penipuan diwujudkan dengan organisasi seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bank Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil peranan dalam jawatankuasa itu untuk membendung gejala penipuan atas talian ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment