Search This Blog

Loading...

Friday, September 2, 2016

20 jam simpan rahsia rakan lemas





Oleh AIMUNI TUAN LAH

Anggota bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak yang dikhuatiri lemas di Sungai Galas dekat Kampung Lembaga, Gua Musang semalam.

GUA MUSANG – Gara-gara bimbang dimarahi keluarga, enam kanak-kanak sanggup menyembunyikan kejadian seorang rakan mereka dikhuatiri lemas di Sungai Galas dekat Kampung Lembaga di sini kelmarin.

Kejadian itu berlaku pada pukul 11.30 pagi ketika sebahagian daripada kanak-kanak berusia 8 hingga 12 tahun termasuk mangsa, Wan Abi Hurairah Wan Muhamad Sallam, 11, sedang mandi-manda di sungai tersebut.

Bagaimanapun, pada pukul 7.30 pagi semalam, insiden itu terbongkar apabila salah seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Achik menceritakan perkara sebenar kepada pihak polis yang menyiasat kes mangsa yang hilang kira-kira 20 jam.

Wan Abi Hurairah merupakan murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, hasil soal siasat ke atas rakan-rakan mangsa, Wan Abi Hurairah dikatakan telah dihanyutkan arus deras bersama seorang rakannya sebelum lima yang lain cuba menyelamatkan mereka.

Menurutnya, hanya seorang mangsa dapat diselamatkan namun Wan Abi Hurairah hilang dan gagal dikesan.

“Operasi mencari dan menyelamat dimulakan sehingga ke hilir sungai sejak pukul 9 pagi tadi (semalam) melibatkan hampir 40 anggota antaranya polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam,” katanya semalam.

Sehingga lewat petang semalam, mangsa belum ditemui.

Sementara itu, bapa mangsa, Wan Muhamad Sallam Wan Salleh, 45, yang tinggal di Kampung Melayu Bandar Lama berkata, sebelum kejadian, Wan Abi Hurairah atau mesra dipanggil Abi dihantar oleh ibu saudaranya ke rumah rakannya yang dikenali sebagai Achik di Kampung Lembaga pada pukul 10.30 pagi kelmarin.

“Pada pukul 5 petang, ibu saudaranya pergi ke rumah Achik untuk mengambilnya tetapi dia tiada. Sejam kemudian, saya berjumpa dengan seorang rakan Abi yang menyuruh saya pergi mencarinya di padang bola.

“Saya bertemu Achik dan dia pula mengatakan Abi pergi ke sebuah kedai untuk membeli barang tetapi tidak pulang-pulang,” katanya ketika ditemui.

Bimbang dengan keselamatan anaknya, Wan Muhamad Sallam membuat laporan polis pada pukul 1 pagi semalam sebelum diberitahu anaknya dikhuatiri lemas selepas salah seorang daripada rakannya menceritakan kejadian sebenar kepada pihak polis.

Dalam pada itu, seorang rakan mangsa, Ramadan Mansor, 11, berkata, ketika kejadian, dia bersama Wan Abi Hurairah dan seorang lagi rakan berada di atas tebing sungai.

“Empat rakan kami pula sedang mandi sungai namun salah seorang tiba-tiba hanyut. Abi telah terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkannya namun dia kemudian dihanyutkan arus deras,” ujarnya.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0902&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz4J3KmhJlD
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment