Dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 malam tadi di Jalan Jalan Paya Terubong di sini, lelaki berkenaan yang memandu kereta Proton Iswara Aeroback melanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki bersama pembonceng wanita berhampiran sebuah stesen minyak di situ.
Suspek yang panik kemudian terus memecut kenderaannya tanpa menghiraukan teriakan orang ramai yang memintanya berhenti.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kemalangan itu menyebabkan wanita yang berumur 20 tahun cedera parah di bahagian kepala manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan pada bahagian muka.
Katanya, selepas melanggar pasangan berkenaan, lelaki berkenaan terus memecut keretanya menuju ke arah Air Itam dan kemudian berpatah balik kira- kira 400 meter dari lokasi pertama.
"Ketika berpatah balik, kereta yang dipandu lelaki itu melanggar tiga buah motosikal lagi menyebabkan kesemua penunggang mengalami kecederaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, kesemua mangsa termasuk suspek kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE