Search This Blog

Saturday, August 6, 2016

Tragedi bantu lori terbabas




KENDERAAN polis yang dirempuh. FOTO ihsan Polis

Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Taiping: Remaja lelaki maut, manakala dua anggota polis cedera akibat dirempuh kereta ketika membantu lori yang terbabas di Kilometer 10.5 Jalan Taiping-Pantai Remis di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 1.35 pagi itu, ketiga-tiga mangsa dirempuh kereta yang dipercayai tidak perasan mangsa sedang menjaga lalu-lintas serta membantu mengutip muatan lori terbabas itu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti Muhammad Azizi Osman, 19, penduduk kampung berhampiran.

Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

"Anggota polis pula adalah Ahmed Fazlee Khamaruzaman, 32, yang cedera pada kaki kiri dan

Nur Farhana Zainudin, 23, yang cedera di kepala serta kaki kiri.

“Kedua-dua mereka berkhidmat di Balai Polis Padang Gajah, di sini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori membawa muatan ikan terbabas di lokasi berkenaan pada 12.50 tengah malam dan susulan itu dua anggota polis datang memberi bantuan untuk mengawal lalu-lintas.

"Beberapa individu dipercayai orang kampung sekitar turut membantu mengutip muatan ikan lori berkenaan.

“Pada 1.35 pagi datang kereta dari arah Pantai Remis hala ke Taiping dipercayai tidak perasan kemalangan di situ lalu merempuh kereta polis dan tiga motosikal penduduk yang diletak di bahu kiri jalan selain turut merempuh ketiga-tiga mangsa," katanya.

Harrith Kam berkata, susulan kejadian itu seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dua anggota polis yang cedera dihantar ke Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan.

"Pemandu kereta yang juga pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut berpangkat Leftenan kini ditahan bagi membantu siasatan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 11:33 AM

No comments:

Post a Comment