Ketika kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa, Rahizah Ramli, 51, tidur di bahagian ruang tamu manakala suami­nya, Jamaludin Alias, 55, dan dua anaknya tidur di dalam bilik.
Lebih mencemaskan semasa kejadian mangsa telah diacukan parang di leher oleh tiga lelaki bertopeng yang masuk ke rumahnya selepas memotong dan mengumpil pintu dapur.
“Pada malam itu saya memang tidak dapat tidur dan keluar ke ruang tamu sebelum terlelap. Namun apabila tersedar saya terkejut dan menjerit apabila diacukan senjata di leher sebelum mereka mengacukan parang dan meminta saya untuk bekerjasama.
“Saya hanya memikirkan keselamatan kedua-dua anak gadis dan juga suami yang berada di dalam bilik dengan menyerahkan barang kemas dan wang yang ada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Menurut Rahizah, meskipun berada di ruang tamu dia tidak mendengar apa-apa bunyi termasuk ketika penjenayah berke­naan mengumpil pintu dapur.
Ujarnya, dalam kejadian tersebut penjenayah berkenaan mengikat tangannya sebelum membawanya masuk ke dalam bilik dan menyelongkar mencari barangan berharga.
Sementara itu, anak mangsa, Nur Azmina Jamaludin, 22, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata, kejadian yang berlaku sekelip mata itu menyebabkan dia dan adiknya, berusia 12 tahun masih berasa trauma.
Katanya, semasa kejadian dia nyenyak tidur di dalam bilik bersama adiknya sebelum dikejutkan oleh ibunya yang datang bersama lelaki bertopeng.
“Saya hanya tersedar selepas dikejutkan dan hanya diam selepas diarahkan berbuat demikian oleh lelaki berkenaan dan juga ibu sebelum melihat mereka menggeledah bilik,” ujarnya.