SEREMBAN - Polis merampas 265 gram dadah jenis methamphetamine dan 10 gram daun ganja yang kesemuanya bernilai RM7,760 dalam dua serbuan berasingan di sini, pada 5 Ogos lalu.
  
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Zaki Harun berkata, dalam dua serbuan itu di Taman Seremban Jaya dekat sini, dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 21 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
  
"Kira-kira 4 petang pada 5 Ogos lalu, seorang lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Seremban Jaya. Kita turut merampas tiga paket plastik lutsinar mengandungi 33 ketul bahan dipercayai methamphetamine seberat 55 gram dan satu paket plastik lutsinar berisi daun kering dipercayai ganja seberat 10 gram.
  
"Hasil serbuan pertama itu juga, polis mengesan seorang lagi suspek dan
membuat serbuan kedua di taman yang sama dan menahan seorang lelaki dan merampas satu beg plastik mengandungi paket-paket lutsinar yang diikat seberat 210 gram," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
  
Mohamad Zaki percaya dengan penahanan dua lelaki terbabit, pihaknya berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di daerah Seremban dan kawasan sekitarnya.

"Namun, kita akan teruskan siasatan kerana mungkin ada anggota sindiket sama yang masih bergerak di sekitar Seremban," katanya.    

Kedua-dua suspek kini ditahan sehingga 10 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. - Bernama