SIBU - Polis Sibu menahan tiga lelaki dan merampas satu bungkusan serbuk dipercayai dadah jenis ketamin seberat kira-kira 64 gram dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Tong Sang, pukul 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Saiful Bahari Abdullah berkata, nilai pasaran dadah yang dirampas dalam serbuan hasil risikan polis itu ialah lebih RM9,500.

“Hasil pemeriksaan semasa serbuan tersebut menjumpai satu plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna merah keperangan disyaki dadah jenis ketamin yang disimpan dalam rak kecil di sebelah peti sejuk dalam rumah itu,” katanya.

Menurut Saiful Bahari, ujian air kencing yang dilakukan ke atas ketiga-tiga lelaki itu yang masing-masing berusia 24, 23 dan 41 tahun itu juga didapati positif dadah jenis Amphetamine.

Beliau berkata, selain itu ketiga-tiga suspek juga mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah.

Katanya, ketiga-tiga suspek itu kini direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. - Bernama