Search This Blog

Loading...

Tuesday, August 9, 2016

Pembantu Tadbir Perbadanan Putrajaya Didakwa Pecah Amanah Duit Sewa Dewan


Diterbitkan: Selasa, 9 Ogos 2016 3:15 PM

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu tadbir di Perbadanan Putrajaya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pecah amanah wang hasil sewaan dewan di perbadanan itu untuk kegunaan sendiri.
Ridhuwan Abdul Manaf, 35, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan.
Tertuduh, yang telah diamanahkan menguruskan sewa tempahan dan penggunaan dewan di Kompleks Perbadanan Putrajaya didakwa telah melakukan pecah amanah iaitu menyalahgunakan wang hasil sewaan dewan berjumlah RM40,316 bagi kegunaan diri sendiri dengan tidak menyerahkan wang itu kepada perbadanan. 
Ridhuwan didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Perbadanan Putrajaya, 24 Persiaran Perdana Presint 3, Putrajaya, antara 23 Jun 2015 hingga 6 Mei 2016.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 
Timbalan Pendakwa Raya Suhaidariah Ahmad tidak menawarkan wang jaminan bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama baik kepada pihak polis. 
"Tertuduh sudah berkahwin mempunyai dua anak berusia lima dan tiga tahun yang mana anak bongsunya menghidap penyakit sawan dan kerap kali mendapatkan rawatan di hospital," kata peguam itu. 
Hakim Zulqarnain membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos untuk sebutan semula kes. -- Bernama

No comments:

Post a Comment