Kejadian pada pukul 9.18 pagi itu menyebabkan pemandunya, Muryanto Ahyar, 51, maut di tempat kejadian ekoran tersepit dalam lori yang membawa muatan gas memasak.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa yang dalam perjalanan ke Senggarang dipercayai bergesel dengan traktor tersebut yang diletakkan di bahu jalan.
“Ekoran kejadian terbabit, lori mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar pula sebatang pokok di bahu jalan sebelah kiri.
“Mangsa pada mulanya dilaporkan masih hidup dan tersepit dalam lori terbabit, namun pihak bomba yang tiba untuk melakukan tugas menyelamat mendapati mangsa sudah tidak bernyawa,” katanya di sini hari ini.
Menurut Abdul Wahib, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan punca sebenar masih dalam siasatan.
Sementara itu, ujar Abdul Wahib, kelindan traktor terbabit yang berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan ekoran kemalangan tersebut. - UTUSAN ONLINE