Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, Mohd. Khairul Azuan A. Aziz, 29, ditetak seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan parang, ketika menyertai operasi bersepadu membanteras kecurian khazanah negara kira-kira 10 kilometer di dalam hutan Taman Negara berkenaan.
Mohd. Khairul Azuan ha­nya berjaya dibawa keluar meng­gunakan helikopter pada pukul 11 pagi ini selepas usaha membawanya keluar melalui jalan darat gagal ekoran kecederaan teruk yang dialaminya.
Ketua Polis daerah, Super­intenden Azid Ismail berkata, kejadian berlaku ketika Mohd. Khairul Azuan bersama 10 pegawai Perhilitan terma­suk enam anggota tentera sedang menjalankan operasi bersepadu di Sungai Roak di Ulu Tembe­ling.
“Difahamkan berlaku perge­lut­an dan mangsa cedera di bahagian muka dan tangan akibat ditetak dengan parang. Rakan mangsa cuba membawanya ke­luar melalui jalan darat tetapi sukar disebabkan bentuk muka bumi dan kecede­raannya.
“Namun, dengan bantuan Unit Helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Subang, kita berjaya membawa keluar mangsa dari situ dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh hari ini,” katanya.
Menurut Azid, mangsa yang bertugas di Perhilitan Rompin, Pahang itu dalam keadaan stabil.
Kes tersebut disiasat mengi­kut Seksyen 326 Kanun Kesek­saan kerana mendatangkan kecede­raan, katanya.
“Polis masih menjalankan siasatan dan berusaha mengesan suspek terlibat,” katanya.