Search This Blog

Wednesday, August 31, 2016

Pasangan kembar dakwa dirogol bapa kandung


ASSIM HASSAN  |  31 Ogos 2016 12:37 AM

KOTA KINABALU 30 Ogos – Satu pasangan kembar remaja perempuan membuat laporan polis selepas mendakwa dirogol dan dicabul oleh bapa kandung mereka beberapa kali dengan kali terakhir di rumah mereka di Perumahan Pegawai Kanan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom, baru-baru ini.
Mangsa yang berusia 14 tahun itu nekad datang ke bandar raya ini yang jaraknya 168 kilometer dari Tenom kelmarin untuk membuat laporan tersebut di Balai Polis Karamunsing di sini.
Sumber berkata, berdasarkan laporan polis yang dibuat, mangsa mendakwa dirogol oleh suspek pada Jumaat lalu antara pukul 2 hingga 3 petang di rumah mereka manakala adik kembarnya dicabul.
Tambah sumber, mangsa diugut supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada ibu mereka, selain diugut akan dibunuh.
Difahamkan, suspek yang merupakan pegawai kanan di IPD Tenom melakukan perbuatan tidak bermoral itu lebih dari 10 kali iaitu sejak mangsa berusia tujuh tahun.
Difahamkan juga, suspek mempunyai dua isteri dan mang­sa merupakan anak bersama isteri pertama yang mempunyai tiga anak manakala isteri kedua mempunyai empat anak.
Menurut sumber, mangsa telah menceritakan kejadian itu kepada abangnya sebelum memaklumkan kepada ibu mereka dan me­larikan diri ke Kota Kinabalu, kelmarin.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan laporan polis tersebut dan me­minta orang ramai memberi ruang kepada pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh.
Kata beliau, pihaknya akan merakam percakapan mangsa dan saksi selain menunggu laporan perubatan.
“Kita tidak melindungi mana-mana pegawai yang melakukan salah laku dan akan menahan suspek jika terdapat keperluan bagi membantu siasatan.
“Saya harap masyarakat tidak mudah menjatuhi hukuman serta tidak menyebarkan berita tersebut di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pasangan-kembar-dakwa-dirogol-bapa-kandung-1.376765#sthash.F4L9UXl8.dpuf

No comments:

Post a Comment