BUKIT MERTAJAM -  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan dua anggota polis trafik berpangkat koperal semalam kerana menerima wang suapan sebanyak RM500 daripada seorang pemandu lori.

Mereka bertugas di bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini.

Sumber SPRM berkata, mereka yang masing-masing berumur 52 dan 56 tahun ditahan ketika sedang bertugas di perhentian bas di Jalan Muthu Palaniappan di sini.

"Mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes menerima wang suapan sebanyak RM500 dari seorang pemandu lori membawa ais kiub bagi melepaskan kenderaan berkenaan semasa satu operasi awal pagi semalam.

"Lori itu ditahan kerana cukai jalannya telah tamat dan difahamkan dua anggota polis tersebut telah meminta wang bagi melepaskan kenderaan terbabit," katanya kepada Bernama.

Sumber itu berkata, pemandu itu kemudiannya membuat laporan kepada SPRM.

"Beberapa anggota polis yang terlibat dalam operasi awal pagi semalam itu akan turut dipanggil bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk M. Samarajoo ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua anggota polis berkenaan.

Katanya, kedua-duanya dibebaskan malam tadi selepas pihaknya merekodkan keterangan daripada mereka. - Bernama