ROSLEE CHIK
ROSLEE CHIK
Dua daripada ahli kongsi gelap yang ditahan dipercayai orang kanan kumpulan kongsi gelap, Geng 08.
Mereka yang berusia 32 dan 38 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dilakukan di kawasan perumahan di Bercham, Perak.
Sebanyak 18 lagi anggota kongsi gelap ditahan di Johor (lima orang), Nege­ri Sembilan (lima orang), Selangor (empat orang) dan Kuala Lumpur (empat orang).
Turut dirampas ialah 14 senjata berbahaya antaranya senapang angin, parang, pedang dan pisau.
Penolong Pengarah Jabatan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Roslee Chik berkata, berdasarkan statistik tangkapan mengikut negeri, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 90 orang diikuti Kuala Lumpur (33), Negeri Sembilan (24) dan Terengganu (15).
“Kita juga mendapati 44 orang daripada yang ditangkap sema­lam adalah penjenayah yang dikehendaki kerana pernah mela­kukan kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966, Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (POCA) selain mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Roslee, bagi operasi yang dijalankan dalam tempoh 24 jam semalam, sebanyak 114 kertas siasatan yang melibatkan pelbagai kesalahan dibuka.
Selain itu, beliau turut memaklumkan, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai bergiat aktif dalam urusan pembelian haram sarang burung walet di Kuantan, Pahang.
“Suspek akan direman selama 21 hari di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” ujarnya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 534 individu yang sebahagian besarnya penjenayah diberkas termasuk 69 ahli kongsi gelap menerusi Op Cantas Khas 2 yang dijalankan dalam tempoh tiga hari sejak Sabtu lalu.
Operasi tersebut adalah bagi mengikuti saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya Op Cantas 2 dilancarkan dalam usaha untuk membendung aktiviti jenayah termasuk beberapa kes tembak sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, peningkatan kes jenayah berat seperti tembak di negara ini tiada kaitan dengan kelemahan undang-undang yang ada sebaliknya perlu membuat beberapa penambahbaikan se­perti pagar sempadan yang memudahkan penyeludupan sen­jata api.