KOTA TINGGI - "Kaki saya menggigil bila nampak kepala orang dihadapan pintu rumah,"kata Abdul Wahid Sadiman, 50 jiran kepada nenek di Felda Pengeli Timur yang menjadi mangsa bunuh cucu sendiri petang semalam.

Menceritakan detik-detik kejadian tersebut, Abdul Wahid berkata, kira-kira jam 6 lebih dia bersama keluarga sedang makan di rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi riuh rendah dari rumah sebelah.

Katanya, ketika itu dia terdengar bunyi orang menjerit menyuruh orang didalam rumah berkenaan buka pintu.

"Kami yang sedang menjamu selera terhenti seketika apabila terdengar bunyi bising itu. Tidak berapa lama kemudian suasana menjadi senyap dan kami yang tidak tahu apa berlaku terus menyambung makan seperti biasa.

"Beberapa minit kemudian keadaan kembali kecoh. Apabila menjengah ke luar rumah saya lihat suspek yang masih memegang pisau sedang bergelut dengan bapanya sebelum suspek melarikan diri. Sebaik sahaja menjengah ke rumah mangsa saya ternampak kepala mangsa di pintu rumah dengan darah yang banyak,"katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya dekat sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Nenek dipenggal cucu]

Tambahnya, dia yang terkejut dengan kejadian tersebut terus memaklumkan kepada ketua blok dan jiran-jiran terdekat.

Bagi Pinah Mustajab, 66 pula berkata, kali terakhir dia berjumpa mangsa pada Sabtu lalu ketika rewang majlis kenduri perkahwinan di bloknya.

Katanya, dia tidak menyangka jirannya itu yang merupakan seorang lemah lembut dan disenangi akan ditimpa nasib sedemikian.