PUTRAJAYA  - Lima remaja lelaki berusia antara 16 dan 19 tahun cedera selepas dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan dan terbabas ketika mereka sedang duduk di atas motosikal di Jambatan Sri Gemilang, Presint 4 di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan ketika dihubungi berkata, kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu berpunca daripada sebuah kereta Proton Perdana yang hilang kawalan dan melanggar sebuah kereta Honda Civic.

"Proton Perdana itu seterusnya terbabas dan merempuh 11 motosikal yang diletakkan di tepi jalan. Kelima-lima remaja berkenaan cedera ringan dan dirawat di Hospital Putrajaya.

"Ujian air kencing ke atas kedua-dua pemandu kereta itu adalah negatif.

Pemandu Proton Perdana yang berusia 26 tahun ditahan dan sudah dibebaskan dengan jaminan," katanya lagi.

Menurut Rosly, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama