JENGKA - Lima beranak trauma apabila diacu parang dan diugut sembelih dalam kejadian samun melibatkan empat lelaki yang memecah masuk rumah mereka di Jengka 14, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa ialah balu peneroka, Samiah Ismail, 57, anak-anaknya, Norwati Ibrahim, 41; Siti Sufiah, 23; Nurul Shamira, 20 dan menantu Samiah, Mohd Azuan Adam, 27.

Samiah berkata, dia hanya menyedari kejadian itu setelah dikejutkan salah seorang penyamun yang masuk ke biliknya, melalui tingkap dapur yang telah diumpil.

"Salah seorang kejutkan saya dari tidur. Apabila buka mata ada tiga orang berdiri sebelah katil saya. Mereka minta saya berikan barang kemas yang saya pakai dan turut menggeledah bilik.

"Kemudian mereka suruh saya keluar dan duduk di tangga. Salah seorang pegang dagu saya dari belakang dan acu parang sambil ugut mahu suruh diam. Dia kata jangan melawan. Jangan bising. Kalau bising, sembelih," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam keadaan trauma dan menggigil, beliau diarah keluar dari bilik dan duduk di tangga dengan dikawal seorang penyamun manakala tiga lagi menggeledah bilik-bilik lain.

Dia yang mendengar anak sulungnya, Norwati, seorang wanita kelainan upaya (OKU) menjerit hanya mampu berdoa dan berzikir agar anaknya itu tidak diapa-apakan.

"Saya peluk tubuh dan berzikir Allahuakbar perlahan-lahan tapi masih boleh didengar oleh penyamun yang jaga saya. Anak sulung waktu itu jerit 'tolong...' Syukurlah mereka tak diapa-apakan. Penyamun geledah bilik sambil suruh diam dan serahkan barang kemas yang dipakai," katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi mendapati beberapa pasu bunga telah dialih ke tepi sebelum jeriji besi penghadang tingkap dipotong dan dikepak manakala bilah cermin tingkap dicabut.

Menerusi tingkap itu mereka dipercayai masuk sebelum keluar melalui pintu dapur.

Tak sedar apa

Sementara itu, Siti Sufiah berkata, ketika kejadian biliknya dimasuki empat penyamun tersebut serentak sambil menghunus parang panjang.

Mereka menyuruhnya diam sambil menyuluh dengan lampu picit. Keadaan silau menyebabkan dia tidak dapat berbuat apa-apa sementara seorang penyamun bertindak mengikat tangan suaminya yang ketika itu sedang tidur.

"Mereka ambil telefon bimbit dan duit dalam laci serta arahkan saya buka semua barang kemas yang dipakai. Lengan suami lebam kesan ikatan.

"Suami tidur jam 3 pagi dan dalam keadaan tak sedar apa-apa itulah penyamun terus serbu ke bilik kami. Kejadian berlaku terlalu pantas. Tapi saya boleh dengar kakak dan adik minta tolong di bilik sebelah. Penyamun suruh diam dan jangan melawan jika tak mahu diapa-apakan," katanya.

Dalam kejadian tersebut mereka hilang wang tunai RM1,000; beberapa telefon bimbit, komputer riba dan beberapa barang kemas yang mana kebanyakannya ialah barang kemas pusaka.

Turut dilarikan ialah sebuah beg yang digunakan penyamun untuk meletakkan semua barangan yang disamun serta sebuah beg mengandungi kad pengenalan dan dokumen perubatan Samiah.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Polis, Mat Rizal Mat Radzi mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun secara berkumpulan dan bersenjata.

Jika sabit kesalahan, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimun sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

"Siasatan masih dijalankan dan kerugian awal menganggarkan antara RM15,000 ke RM20,000 setakat ini. Ia melubatkan wang tunai RM1,000 manakala selebihnya ialah barang kemas pusaka dan barangan lain," katanya.