Pekerja di Kilang Air Batu Muda itu ditahan pasukan rondaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan pada pukul 11.50 pagi ketika dalam perjalanan menghala Taman Melati, Setapak. 


Pengarahnya, Datuk Md. Ziki A. Rahman berkata, kereta Suzuki Swift 1.5L yang dinaiki individu berusia 30-an itu ditahan berikutan mempunyai perbezaan dengan model yang sama keluaran negara ini. Malah menurutnya, ini adalah kes pertama kereta jenis tersebut diklon oleh sindiket.


Ujarnya, pemeriksaan lanjut pada nombor pendaftaran yang dipamerkan mendapati nombor tersebut didaftarkan atas motosikal.


“Menurut pemandu, dia tidak mengetahui kereta yang dipandu adalah kenderaan klon yang dibawa masuk dari Singapura kerana diperoleh secara percuma selepas dia menyertai satu syarikat MLM,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.


Menurut Md. Ziki, pemeriksaan lanjut pada bonet belakang kenderaan terbabit menemukan satu lagi papan plat bernombor NBS 8052.


Ujarnya, bagaimanapun, pemandu terbabit mendakwa tidak menyedari kewujudan nombor plat lain di dalam keretanya dan tidak mengetahui kenderaan yang dipandu telah diklon.


Sehubungan itu beliau memberitahu, kenderaan tersebut disita serta merta dan akan dilupuskan.


Tambahnya, penahanan itu menjadikan jumlah kenderaan klon yang disita JPJ Wilayah Persekutuan bagi tempoh tujuh bulan tahun ini adalah sebanyak 115 buah.
 - UTUSAN ONLINE