JENGKA - Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaikinya terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Jalan Kilang Sawit Jengka 9, di sini awal pagi semalam.

Ketika kejadian pada jam 3.35 pagi itu, mangsa, Sim Wooi Liang, 47, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Jengka 8 menghala Jengka 9.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan jenis Mitsubishi Pajero yang dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas merempuh pengadang jalan sebelum  menjunam ke dalam gaung.

“Punca kemalangan masih disiasat namun siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bandar Jengka untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.