Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa, warga tempatan yang berumur 55 tahun maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan patah pinggang, kaki dan paha.
Difahamkan premis itu telah beroperasi lebih dua bulan lalu dan kini dalam proses baik pulih untuk membesarkan ruang untuk me­nempatkan lebih banyak peralatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Khalil Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 7.22 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan tujuh anggota.
“Ketika sampai kami dapati dinding konkrit di bahagian tengah premis itu runtuh bersama siling.
“Hasil pemeriksaan kemudiannya, kita menemukan seorang lelaki yang telah meninggal dunia dalam keadaan terduduk dengan sebahagian badannya dihempap dinding konkrit yang runtuh itu,” katanya.
Menurut Mohd. Khalil, pihaknya terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengalihkan dinding itu sebelum berjaya mengeluarkan mangsa setengah jam kemudian.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.
Dalam pada itu, rakan mang­sa yang enggan dikenali memaklumkan, mereka ke pusat itu pada pukul 3 pagi untuk bermain mesin simulator sebelum secara tiba-tiba struktur bumbung ba­ngunan itu runtuh dan menghempap mangsa.
Menurutnya, dia cuba membantu mangsa yang terperangkap namun gagal kerana struktur itu terlalu berat dan menghempap keseluruhan tubuh mangsa.