PASIR PUTEH - Lima sekeluarga selamat selepas kereta mereka berlanggar dengan sebuah kereta lain lalu terbakar di Kampung Banir Belikong, Selising, dekat sini, kelmarin.

Proton Waja dipandu Ronezan Ismail, 38, dari arah Pasir Puteh ke Kota Bharu, dikatakan terlanggar bahagian belakang Perodua Myvi dari arah sama yang cuba memasuki simpang rumah di kanan jalan.

Perlanggaran menyebabkan Proton Waja terbakar, bagaimanapun Ronezan bersama empat ahli keluarganya yang berasal dari Kemaman, Terengganu sempat keluar dari kenderaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Musofar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 5.19 petang.

Katanya, bomba dengan kekuatan enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Abdul Hadi Hassan tiba di lokasi jam 5.31 petang.

“Ketika tiba, kereta itu masih terbakar. Kita memastikan tiada mangsa terperangkap  dan berjaya memadamkan api tidak lama selepas itu. Operasi tamat jam 5.56 petang. Anggaran kerugian RM12,000, tapi jumlah sebenar masih disiasat,” katanya.

Menurut Azhar Elmi, dalam nahas berasingan, Perodua Viva terbalik selepas berlanggar dengan Perodua Kelisa di Simpang Empat Kampung Gong Kulim, dekat sini.

Katanya, bomba menerima panggilan pada jam 12.44 tengah hari kelmarin dan berkejar ke lokasi dengan kekuatan lapan anggota.

“Ketika kami sampai, mangsa telah keluar dari kenderaan. Anggota kita menghantar mangsa dengan jentera EMRS ke Hospital Tengku Anis untuk rawatan.

“Operasi ditamatkan jam 1.20 petang,” katanya.