CHENOR - Dua lelaki selamat manakala seorang maut dalam kejadian kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori dan kereta, awal pagi tadi.
Kemalangan di susur masuk ke Tol Chenor Kilometer 140 Lebuhraya Pantai Timur menghala ke Kuala Lumpur itu berlaku jam 1.30 pagi.
Mangsa yang terselamat ialah pemandu kereta jenis Volkswagen Shahrir Mohammad, 29, yang dirawat di Hospital Temerloh serta pemandu lori, Yip Yuen Keong, 50.
Sementara itu, mangsa yang maut ialah penumpang hadapan kereta Volkswagen, Syed Azmi Syed Abu Bakar, 57, seorang kontraktor berasal dari Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Polis Mat Rizal Mat Radzi berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati, pemandu lori dalam perjalanan membawa muatan besi-besi buruk seberat 30 tan daripada Kuantan hendak ke Kuala Lumpur.
"Semasa tiba di tempat kejadian pemandu lori telah terdengar bunyi dentuman kuat dari bahagian belakang kanan lori yang dipandunya dan terus memberhentikan kenderaan tersebut.
"Apabila turun beliau mendapati ada sebuah kereta jenis Volkswagen berada di tengah jalan dengan keadaan remuk di bahagian hadapan sebelah kiri dan terdapat dua mangsa tersepit di dalam kereta," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kedua-dua mangsa telah dikeluarkan oleh pihak Bomba dan dibawa ke Hospital Temerloh untuk rawatan kecemasan.
Bagaimana pun, Syed Azmi yang cedera parah di bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Kes disiasat di bawah Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.