Search This Blog

Tuesday, August 30, 2016

Jual beli dadah dalam talian


DIANA AZIS  |  30 Ogos 2016 7:37 PM
sering

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan negeri, Ismail Ahmad Khairi (kanan) bertanyakan sesuatu kepada sepasang suami isteri yang ditahan sewaktu Op Cegah Perdana di Felda Serting Hilir Kompleks, disini hari ini. - UTUSAN/MOHD. IZZUL FARHAN
JEMPOL 30 Ogos - Pengedar dadah di negeri ini dikesan menggunakan transaksi jual beli secara dalam talian bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.
Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan, Ismail Ahmad Khairi berkata, taktik pengedaran dadah terbaharu itu menyulitkan pihaknya mengesan kegiatan jenayah berkenaan kerana tidak beroperasi secara nyata.
“Siasatan mendapati pengedar mula menggunakan taktik menjual dadah secara ‘online’ (dalam talian) selain turut berkomunikasi menerusi media sosial untuk berurusan dengan penagih.
“Penagih cuma perlu melakukan transaksi pembayaran ke akaun bank secara ‘online’ sebelum ke lokasi dadah ditinggalkan untuk mengambilnya yang diberitahu menggunakan media sosial,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurut Ismail, kegiatan itu menyukarkan AADK memperoleh bukti urusan jual beli kerana penagih tidak bersemuka dengan pengedar untuk mendapatkan dadah.
Katanya, kumpulan penagih juga turut menggunakan media sosial untuk berkomunikasi sesama mereka sekali gus menyukarkan usaha memberkas sewaktu operasi dijalankan.
“Apabila seorang penagih ditahan, rakan mereka yang lain akan memaklumkan mengenai kehadiran pihak berkuasa mengunakan media sosial,” katanya.
Sementara itu, seramai 25 individu termasuk sepasang suami isteri dari Felda Serting Hilir Kompleks dekat sini ditahan dalam Op Cegah Perdana hari ini disyaki positif dadah jenis syabu.
“Lelaki berkenaan berumur 37 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori manakala isterinya yang berumur 34 tahun merupakan suri rumah.
“Empat orang anak mereka yang berumur antara empat hingga 17 tahun diserahkan kepada nenek mereka dan pasangan berkenaan akan didakwa di mahkamah,” katanya. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/jual-beli-dadah-dalam-talian-1.376635#sthash.WQgE2P9t.dpuf

No comments:

Post a Comment