Search This Blog

Loading...

Wednesday, August 10, 2016

Hina badan kehakiman, majistret lapor polis

ADILA SHARINNI WAHID

Hina badan kehakiman, majistret lapor polis

 KOTA BHARU – Satu laporan polis dibuat terhadap seorang pengguna laman sosial Facebook (FB) kerana memuat naik status mengandungi kata-kata kesat yang didakwa memfitnah dan menghina badan kehakiman, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, di sini, hari ini.
Laporan dibuat Majistret, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri pada jam 12 tengah hari selepas menyedari status yang dimuat naik pada jam 11 malam, malam semalam itu dikongsi ke satu kumpulan WhatApps.
Beliau turut ditemani Pendakwa Raya Kelantan, Wong Siew Mun dan pegawai pendakwa, Inspektor Mohd Fazlie Zulkufli di balai itu, hari ini.
Status berkenaan merujuk kepada tindakan beliau yang menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM3,000 kepada seorang wanita mengandung akibat mencuri barangan kanak-kanak di sebuah pasar raya, di sini.
Katanya, beliau percaya kata-kata tersebut bertujuan menghina, menjatuhkan imej, menjejaskan reputasi dan integriti beliau serta badan kehakiman.
Selainnya, pengguna FB persendirian itu turut dikatakan memfitnah beliau dengan menuduh mengambil suapan daripada pihak pasar raya tersebut untuk menjatuhkan hukuman terhadap wanita itu.
Sehubungan itu, katanya, laporan tersebut dibuat bertujuan satu tindakan tegas diambil terhadap pengguna FB berkenaan sebagai pengajaran kepada pengguna berkenaan dan berlaku perkara sama pada masa akan datang.
Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang wanita mengandung anak kelima dihukum di Mahkamah Majistret Kota Bharu selepas mengaku salah dengan niat mencuri dua selipar kanak-kanak, enam pasang baju kanak-kanak,satu t-shirt kanak-kanak dan tiga pasang sarung tangan bayi yang keseluruhannya bernilai RM165 di sebuah pasar raya pada jam 3.55 petang, 21 Mac 2009.
[ARTIKEL BERKAITAN: Curi sarung tangan bayi, wanita sarat hamil dijel 14 hari]
Berita dikongsi di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen termasuk pengguna yang didakwa memuat naik status menghina majistret serta badan kehakiman Malaysia.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner, Baharom Abu mengesahkan menerima laporan dan akan menjalankan siasatan berhubung aduan berkenaan.

No comments:

Post a Comment