Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi itu turut mencemaskan empat lagi keluarga lain yang mendiami rumah panjang lima pintu tersebut, manakala seorang mangsa dilaporkan melecur kerana cuba memadam api daripada merebak membakar kediaman berkenaan.
Jurucakap bomba berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor diketuai oleh Herman Basa bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 7.06 pagi.
“Setibanya di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati berlaku kebakaran melibatkan tong gas memasak yang bocor, manakala 15 peratus dapur kediaman mangsa turut terbakar.
“Seorang lelaki berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pelaut didapati cedera melecur kerana cuba memadam api daripada merebak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ujar jurucakap itu, siasatan mendapati tong gas berkenaan meletup semasa pemilik rumah menghidupkan api untuk memasak.
Katanya, pemilik rumah tidak menyedari terdapat kebocoran gas daripada silinder akibat gigitan tikus pada saluran getah yang menyambungkan tong gas dengan dapur memasak.
Tambahnya, sebaik sahaja cuba menghidupkan api, berlaku letupan daripada silinder gas sebelum api merebak membakar sebahagian ruang di dapur kediaman berkenaan.
“Tindakan pantas pemilik rumah memadamkan api berjaya menyelamatkan kediaman terbabit dan empat lagi rumah lain daripada musnah terbakar,” katanya. - UTUSAN ONLINE