Search This Blog

Friday, August 5, 2016

Fenomena pembunuhan penjenayah dadah jadi viral di Filipina



AFP - GAMBAR yang dirakam pada 23 Julai lalu menunjukkan Olayres merangkul mayat seorang lelaki berdekatan cebisan kotak tertera tulisan ‘saya seorang pengedar’ di sebatang jalan di Manila, Filipina.


MANILA – Ratusan orang disyaki penjenayah dadah telah ditembak mati sejak Rodrigo Duterte mengangkat sumpah sebagai Presiden selepas memenangi pilihan raya pada Mei lepas dengan menjanjikan penghapusan masalah dadah dan jenayah dalam masa enam bulan.
Dalam insiden terbaharu, mayat seorang lelaki yang ditembak mati dibiarkan di tepi jalan, malah ada yang dibuang di lorong-lorong terpencil sejak kempen perang dadah Duterte mengganas di kawasan miskin di Filipina.
Menerusi gambar yang menjadi viral di sini baru-baru ini, seorang wanita kelihatan meratapi kematian suaminya yang mendapat liputan meluas stesen televisyen tempatan.
“Suami saya tidak bersalah. Dia tidak pernah menyakiti sesiapa,” ujar Jennilyn Olayres mengenai pasangannya, Michael Siaron yang merupakan seorang pembawa beca.
Angka baharu yang dikeluarkan pihak polis awal minggu ini melaporkan sebanyak 402 suspek dadah telah dibunuh sejak pilihan raya lepas dengan 211 daripadanya dilakukan oleh pembunuh tidak dikenali.
Serbuan yang dilakukan ke atas tempat persembunyian pengedar dadah telah membawa kepada kematian hampir setiap malam dengan mayat suspek berlumuran darah dan pistol berdekatan mereka dipercayai untuk menentang penangkapan.
Wajah mereka diletakkan dengan pita pelekat dan sekeping kertas kadbod digantung di dada mereka yang tertulis tuduhan sebagai pengedar dadah. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0805&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz4GPXAc7yC 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment