Kedua-dua mangsa yang berusia 60 tahun itu masing-masing kerugian RM7.1 juta dan RM800,000 melalui 10 transaksi selepas terpedaya dengan ‘janji manis’ kekasih yang dikenali mereka di laman sosial Facebook sejak tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, bertindak atas maklumat daripada pihak Polis Persekutuan Australia dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dua serbuan berasingan di sekitar Cyberjaya, Selangor dan menahan lapan individu yang terlibat dengan penipuan itu pada awal pagi ini.
Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita warga Afrika serta seorang wanita tempatan.
“Turut dirampas ialah 16 buah telefon bimbit, kad bank (8), komputer riba (4), pasport (2) dan komputer (1).
“Dengan penahan mereka ini, kita telah berjaya menumpaskan dua sindiket yang menjalankan kegiatan ini dan selesaikan empat kes,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Acryl Sani memberitahu, kesemua suspek berusia antara 24 dan 40 tahun itu kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitter milik­nya mengucapkan syabas ber­ikutan penahanan itu.
“Syabas JSJK @PDRMsia Bukit Aman tangkap sembilan orang iaitu lapan warga Nigeria. Bongkar dua kumpulan African Scam di Cyberjaya kerugian mangsa cecah RM7.2 juta, #GoPDRMGo,” katanya.