SAIFUL BAHARI ABDULLAH
SAIFUL BAHARI ABDULLAH
Dalam kejadian sekitar 10.30 malam itu, salah seorang mangsa membuka pintu bilik apabila mendengar ketukan dan mendapati seorang wanita sedang berada di luar dan menawarkan khidmat seks.
Sejurus selepas wanita itu masuk ke dalam bilik, dua lelaki lain menyerbu masuk dan memaksa mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM300 serta merampas dua unit telefon bimbit kepunyaan pengadu dan rakan sebiliknya.
"Apabila pengadu cuba menghalang, dia telah ditumbuk dengan menggunakan alat buku lima sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala.
Ketiga-tiga suspek terus melarikan diri bersama tiga lagi rakan yang menunggu di bawah hotel," kata Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Saiful Bahari Abdullah dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, polis telah memberkas enam individu terdiri daripada lima lelaki berusia antara 19 tahun hingga 30 tahun serta seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah rumah sewa di bandar ini pada malam sama bagi membantu siasatan.
Seorang daripada lelaki yang ditahan dipercayai pasangan kepada wanita berusia 23 tahun itu dan mereka didapati mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Menurutnya, polis juga berjaya merampas dua unit telefon bimbit yang dilaporkan hilang dan buku lima.
Polis percaya kejadian merupakan modus operandi baharu yang menjadikan penginap hotel bajet sebagai sasaran dengan umpanan seorang wanita yang menawarkan khidmat seks.
Mereka kini direman tujuh hari bermula hari ini dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 dan 395 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera semasa melakukan samun berkumpulan. - BERNAMA