Search This Blog

Sunday, August 28, 2016

Dua beradik kembar ditahan merompak


28 Ogos 2016 11:30 PM


KEMAMAN 28 Ogos - Dua beradik kembar yang dipercayai mempunyai kaitan dalam dua cubaan merompak kedai emas di daerah Dungun baru-baru ini kerana dikatakan terdesak untuk melunaskan ah long, ditahan polis petang kelmarin.
Mereka ditahan di kawasan Perindustrian Teluk Kalong di sini, selepas kereta yang dinaiki terlibat dalam kemalangan ketika cuba melarikan diri setelah menyedari diekori oleh unit peronda polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata, mereka yang berusia 26 tahun itu dan digelar Geng Amir berasal dari Cheras, Selangor.
“Polis turut merampas sepucuk pistol tiruan dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk pecah premis.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan mereka ditahan reman sehingga Selasa ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 36(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
Katanya, kereta yang mencurigakan itu dikesan pada pukul 4.05 petang Jumaat lalu di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kuang dan semasa melarikan diri kereta itu berlanggar dengan sebuah kereta lain.
“Kedua-dua mereka yang menaiki kereta yang disewa di Pulau Pinang itu cedera ringan namun seorang daripada mereka terpaksa dikeluarkan dengan bantuan orang awam,” katanya.
Beliau memberitahu, siasatan lanjut menemukan pelbagai peralatan pecah rumah termasuk besi kuku kambing, teropong, pisau pemotong daging, tukul di samping peralatan untuk menyamar seperti rambut dan janggut palsu, jubah, purdah, kopiah serta kad pengenalan palsu.
Menurut beliau, mereka menginap di sebuah homestay di Cukai dan mereka dipercayai terlibat dalam dua cubaan samun di dua kedai emas di Daerah Dungun pada 20 Ogos dan 25 Ogos lalu namun mereka gagal mendapat habuan.
Siasatan juga mendapati mereka baru pulang dari Australia, dipercayai berdepan dengan masalah hutang Ah long dan terdesak melakukan jenayah untuk melunaskan bayaran. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dua-beradik-kembar-ditahan-merompak-1.375879#sthash.5KqFg8T7.dpuf

No comments:

Post a Comment