GEORGETOWN - Seorang lelaki cedera ringan selepas bergelut dengan orang awam kerana dipercayai cuba mencuri wang tabung di sebuah kuil di Lintang Air Itam, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian 2.30 pagi itu, tindakan suspek berusia 39 tahun itu disedari orang awam di kawasan berkenaan.

Menurutnya, suspek didapati bergelut ketika ditangkap oleh orang awam menyebabkan suspek mengalami luka di kepala dan tangan.

"Suspek dipercayai memecah masuk ke kuil dan cuba untuk mencuri wang dari dua buah tabung di kuil berkenaan. Walau bagaimanapun, tindakan itu disedari orang awam. Ketika ditangkap, suspek bergelut untuk melepaskan diri menyebabkan dia luka di kepala dan tangan.

"Suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan sebagai pesakit luar. Siasatan lanjut mendapati motosikal yang digunakan oleh suspek baru sahaja dicuri di Flat Jalan Penawar, Jelutong, di sini," katanya ketika dihubungi.

Mior Faridalathrash berkata, pemeriksaan ke atas motosikal berkenaan mendapati, sebuah tabung berisi duit syiling dan wang kertas dipercayai dicuri dari sebuah gereja yang berdekatan dengan kuil berkenaan.

"Suspek direman tujuh hari untuk siasatan. Wang berjumlah RM160 berjaya dirampas iaitu RM130 dari tabung gereja dan RM30 dari tabung kuil.

"Suspek mempunyai empat rekod kesalahan lampau membabitkan mencuri. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.