Search This Blog

Loading...

Monday, August 8, 2016

Didakwa terima rasuah RM1,300


Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my


Alor Setar: Seorang anggota polis peronda lebuh raya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM1,300, dua thun lalu.

Tertuduh Koperal Mohamad Sukeri Othman, 35, bagaimanapun minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Zanol Rashid Hussain.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Pejabat Peronda Lebuhraya Zon Utara (Bandar Baharu- Changkat Jering), Perak didakwa bersetuju menerima rasuah daripada seorang lelaki dikenali V Tamil Vanan jam 10.09 pagi dalam sebuah premis kedai runcit di Pekan Lama, Lubok Buntar, Serdang, Bandar Baharu, Kulim, dekat sini pada 9 November 2014.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Tamil kerana disyaki membawa arak yang tidak dibayar cukai dengan sebuah kereta Toyota Avanza.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah suapan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Perak Nurul Wahida Jalaluddin yang mengendalikan prosiding memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Khas SPRM Ipoh kerana tertuduh berdepan satu pertuduhan kes berasingan membabitkan kes rasuah pada 7 November 2014.

Zanol kemudian bersetuju dengan permohonan itu dan mengarahkan tertuduh hadir ke Mahkamah Sesyen Khas SPRM Ipoh pada jam 9 pagi esok untuk menetapkan jaminan serta sebutan semula kes.

Khamis lalu, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM1,200 daripada individu sama bagi tujuan sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Lebuhraya PLUS arah Selatan jam 1.50 tengah hari pada 7 November 2014.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 1:48 PM

No comments:

Post a Comment