Search This Blog

Friday, August 12, 2016

Denda RM30,000 jika guna telefon bimbit dalam pesawat




SEORANG penumpang menggunakan telefon bimbit di dalam pesawat. – Gambar hiasan


BEIJING – Penumpang pesawat China yang didapati menggunakan telefon bimbit, merokok atau menduduki tempat duduk secara paksa akan didenda sehingga 50,000 yuan (RM30,200) dalam cadangan rombakan undang-undang penerbangan awam negara itu.
Mereka yang menggunakan alat elektronik yang tidak dibenarkan di dalam pesawat atau cuba membuat gangguan akan dikenakan denda sama, demikian lapor akhbar Hong Kong, South China Morning Post semalam.
Cadangan undang-undang baharu itu menyenaraikan le­bih daripada 10 jenis kelakuan buruk di lapangan terbang atau di dalam pesawat yang boleh didenda sehingga 50,000 yuan, jauh lebih tinggi berbanding denda beberapa ratus yuan sekarang.
Banyak perbalahan antara penumpang dan kru penerbangan berlaku kerana sikap degil penumpang yang enggan mematikan telefon bimbit mereka ketika menaiki pesawat.
Pentadbiran Penerbangan Awam China menyiarkan cadangan undang-undang baharu itu di laman webnya pada minggu ini. Ia bertujuan untuk mendapatkan maklum balas orang ramai sehingga bulan depan.
Pada tahun lalu, lebih 436 juta orang menaiki penerbangan di China, meningkat 11.3 peratus berbanding 2014, manakala 42 juta daripada mereka melakukan perjalanan ke luar negara.
Namun, ketika rakyat China semakin kerap menaiki pe­nerbangan, kelakuan tidak bertamadun mereka semasa berada di lapangan terbang dan menaiki pesawat menerima banyak kritikan di dalam dan luar negara. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz4H4V6BT9E 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment