Search This Blog

Wednesday, August 31, 2016

Budak perempuan maut, enam parah




FOTO ihsan bomba

Ibrahim Isa
Ibrahim_isa@hmetro.com.my


Muar: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut selepas tercampak hampir tiga meter, manakala enam penumpang lain cedera parah apabila Toyota Avanza dinaiki mereka terbabas di Kilometer (KM) 145.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Bukit Gambir, 8.20 pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Siti Saratul Syawal meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan, manakala enam yang lain masing-masing tiga mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Tangkak dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan II Musa Kasbullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.26 pagi dan sebuah jentera membabitkan lima anggota bergegas ke lokasi.

"Apabila tiba, kami dapati benar berlaku kemalangan dan kenderaan itu dikatakan dalam perjalanan dari Johor Bahru ke utara.

"Malangnya, apabila tiba di tempat kejadian Toyota Avanza itu hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan yang juga pembahagi jalan lebuh raya sebelum terbalik," katanya.

Katanya, didapati kanak-kanak perempuan itu berada kira-kira tiga meter di luar kenderaan berkenaan dan sudah meninggal dunia akibat kecederaan parah.

"Kami terus membantu mangsa lain termasuk mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan kedua-dua kaki seorang wanita dewasa yang di hempap kenderaan itu," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 2:37 PM

No comments:

Post a Comment